RSS

Chelsea belum sempurna


GIGGS (kiri) melakukan regangan badan bersama rakan sepasukannya, Patrice Evra sebelum United menentang Stoke City di Old Trafford minggu lalu.



MANCHESTER - Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs mula melancarkan perang psikologi terhadap Chelsea menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Perdana England di Stamford Bridge tengah malam esok.
Atas kertas, jika Chelsea mampu membenam cabaran United, skuad The Blues itu berjaya melebarkan jurang mata ke atas The Red Devils dengan kelebihan tujuh mata.
Biarpun kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah musim ini, Chelsea dilihat bermula garang apabila kekal menerajui liga dengan mengutip 22 mata, empat mata di depan United yang berada di tempat kedua.
Ia ekoran persembahan beberapa pemain muda The Blues seperti Oscar, Eden Hazard dan Juan Mata yang dilihat mampu mengisi kekosongan pemain lama.
Begitupun, Giggs berkata, Chelsea boleh diibaratkan sebagai 'lukisan yang belum sempurna'.
Dia percaya, masih terlalu awal untuk mengangkat Chelsea sebagai juara baharu liga pada musim ini.
Ini kerana, skuad kendalian Roberto Di Matteo itu masih dalam proses pembikinan selepas kehilangan pemain-pemain senior.
"Tidak dapat dinafikan Chelsea merupakan satu pasukan yang dibarisi pemain-pemain muda berbakat.
"Namun, mereka masih memerlukan sedikit masa untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih baik.
"Masih terlalu awal menyifatkan Chelsea sebagai sang juara, bagi saya mereka seperti lukisan yang belum sempurna," kata Giggs.
Begitupun, Giggs mengakui sukar untuk menjinakkan Chelsea di gelanggang mereka.
"Apabila menentang pasukan bagus seperti Chelsea di Stamford Bridge, ia sentiasa menjadi satu perlawanan yang sukar bagi mana-mana pasukan," kata Giggs. - AFP


 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors