RSS

Tiada ‘permusuhan’




LONDON – Tidak akan berlaku ‘permusuhan peribadi’ pada pertemuan antara Chelsea dengan Manchester United dalam saingan Liga Perdana England di Stamford Bridge malam esok.
Demikian tegas pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel semalam yang yakin pertemuan tersebut akan berjalan dengan lancar.
Malah, pemain kelahiran Nigeria itu percaya tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand sudah membuka ‘buku baharu’ berhubung skandal perkauman kapten The Blues, John Terry terhadap adiknya, Anton.
Mikel berkata, United dan Chelsea sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik demi semangat kesukanan bola sepak di England.
“Sudah tiba masanya kita lupakan perkara itu dan buka buku baharu.
“Pertemuan ini berkait dengan bola sepak dan saya berpendapat, kami telah kehilangan semangat itu dalam kes skandal perkauman Terry.
“Memang benar, ada sebuah kisah di sebalik konflik itu tetapi saya berharap ia dapat dilupakan supaya penyokong-penyokong menikmati bola sepak dengan semangat kesukanan,” ujar Mikel.
Kenyataan pemain berusia 25 tahun itu dilihat sebagai menyambut baik kunjungan skuad kendalian Alex Ferguson ke Stamford Bridge selain mahu melupakan skandal Terry menjelang pertemuan mereka di London.
Begitupun, Terry tidak dapat diturunkan selepas digantung empat perlawanan apabila didapati bersalah atas kesalahan menghina pemain pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand.
Namun, Rio dijangka diturunkan pada aksi menentang The Blues dan Mikel memberitahu, bekas pemain Leeds United itu merupakan pemain pertahanan yang memiliki ketahanan mental yang kental dan berwibawa.
“Rio merupakan seorang pemain yang berani. Dia mengetahui cara untuk mengendali emosi dalam satu perlawanan besar seperti menentang Chelsea,” katanya. – Agensi


 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors